Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksMemangku
Power by IT & E-Government,
Prime Minister's Office

​Soalan-Soalan Lazim


​Hubungi Kami
​Tel : 2382469
Fax : 2383862
e-mel : info.psd@psd.gov.bn


MAKLUMAN

  • Satu peraturan lantikan memangku telah dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri melalui Surat Kelilingnya bilangan 4/2008 [Bilangan Rujukan (4) JPM/SK/2008, bertarikh 3 Rabiulawal 1429H bersamaan 11 Mac 2008M]. Peraturan ini dikeluarkan sebagai panduan tatacara kepada Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Ketua-Ketua Jabatan yang berhajat mengadakan sokongan memangku satu-satu jawatan disebabkan oleh kekosongan jawatan atau ketiadaan sementara pemegangnya.
  • Peraturan ini dikuatkuasakan mulai 1 Mac 2008.


Kandungan Surat Keliling berkenaan adalah seperti berikut:

  1. Tempoh Lantikan Memangku
    • Tempoh lantikan memangku bagi jawatan lantikan berperlembagaan, jawatan Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua Jabatan dan Ketua-Ketua Bahagian di kementerian-kementerian yang bertaraf Pengarah ialah selama 1 hari atau lebih.

    • Tempoh lantikan memangku bagi jawatan-jawatan yang lain dalam Bahagian I, II, III dan IV dalam Anggaran Perbelanjaan adalah selama 11 hari atau lebih.


  2. Lantikan Memangku
    • Dalam apa jua keadaan, Ketua Jabatan hendaklah memastikan hanya pegawai yang paling layak dan sesuai yang diperakukan sahaja disokong dan dibenarkan memangku. Lantikan memangku bagi pegawai yang lain hanya dapat diberikan jika pegawai yang paling layak dan sesuai tersebut tidak ada.

    • Jawatan-jawatan tertentu yang memerlukan kelayakan profesional atau teknikal tidak boleh dipangku oleh mana-mana pegawai yang memegang jawatan yang skim perkhidmatannya berlainan kecuali jika sekiranya pegawai yang dilantik memangku daripada skim perkhidmatan berlainan itu mempunyai kelulusan dan kelayakan profesional bagi jawatan tersebut. Walau bagaimanapun, jika pemegang jawatan tersebut mengendalikan tugas-tugas yang bukan berbentuk teknikal, jawatan tersebut boleh dipangku oleh mana-mana pegawai yang tidak mempunyai kelulusan dan kelayakan profesional bagi jawatan tersebut.

    • Jawatan-jawatan dalam Perkhidmatan Pentadbiran Brunei atau Pegawai Kewangan atau Juruaudit tidak boleh dipangku oleh mana-¬mana pegawai yang memegang jawatan yang skim perkhidmatannya berlainan kecuali jika sekiranya pegawai yang dilantik memangku dan skim perkhidmatan berlainan itu telah lulus Peperiksaan Perintah-Perintah Am, Peraturan-Peraturan Perkhidmatan dan Peraturan-Peraturan Kewangan. Walau bagaimanpun, jika pemegang jawatan tersebut mengendalikan tugas-tugas yang bukan berbentuk pentadbiran dan kewangan, jawatan tersebut boleh dipangku oleh mana-mana pegawai yang tidak mempunyai syarat-syarat kelulusan dan kelayakan bagi jawatan-jawatan tersebut.

    • Jawatan-jawatan dalam satu aliran/bidang kerjaya atau skim perkhidmatan dalam Bahagian II hanya dibenarkan dipangku secara sementara oleh pemegang-pemegang jawatan dalam Bahagian III dalam aliran/bidang kerjaya atau skim perkhidmatan yang sama. Huraian.

    • Jawatan Pakar hanya dibenarkan dipangku oleh pegawai-pegawai yang mempunyai kelayakan Pakar dalam bidang yang sama sahaja.

    • Pegawai-pegawai kontrak bukan tempatan hanya boleh dibenarkan memangku jawatan-jawatan jika tidak terdapat pegawai-pegawai tempatan yang berkelayakan dan tidak menjejaskan tugas asal ianya dilantik di dalam syarat perjanjiannya.

    • Lantikan memangku hanya dibenarkan pada peringkat 2 talian sahaja, umpamanya, apabila jawatan A kosong, pegawai B dibenarkan memangku jawatan A. Pegawai C dibenarkan memangku jawatan pegawai B di samping melaksanakan tugasnya (Pegawai C). Selepas ini, tidak dibenarkan seorang pegawai pun (misalnya Pegawai D) memangku jawatan Pegawai C.

    • Seorang pegawai hanya dibenarkan memangku satu jawatan sahaja. Walau bagaimanapun, seorang pegawai yang telah dilantik memangku satu jawatan secara berterusan kerana menilai kesesuaiannya untuk ditetapkan dalam jawatan tersebut boleh memangku satu jawatan yang lain secara sementara sahaja.

    • Seorang pegawai dibenarkan memangku jawatan yang setaraf atau rendah tarafnya atau sama gelaran atau sama tanggagaji dengan jawatannya dengan syarat huraian tugas dan tanggungjawab bagi jawatan-jawatan tersebut berlainan. Jika jawatan yang hendak dipangku itu rendah tarafnya ianya adalah atas budi bicara Ketua Jabatan.

    • Satu jawatan hanya boleh dipangku oleh seorang pegawai sahaja dalam satu masa. Walau bagaimanapun, jika jawatan itu dipangku oleh seorang pegawai secara berterusan kerana menilai kesesuaiannya untuk ditetapkan dalam jawatan tersebut dan jawatan berkenaan tidak boleh dibiarkan kosong kerana ketiadaan pemangku jawatan berterusan, maka jawatan berkenaan boleh dipangku secara sementara sahaja.


  3. Kebenaran Memangku
    Kebenaran memangku diberikan oleh pihak-pihak secara berikut:
    Bil. ​Jawatan Yang Akan Dipangku
    ​Kuasa Membenarkan
    ​a. ​Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap ​Setelah mendapat sokongan daripada Duli Yang Teramat Mulia/Yang Berhormat Menteri Kementerian berkenaan hendaklah dihadapkan kepada Setiausaha Tetap, Jabatan Perdana Menteri yang akan menyembahkan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menjunjung kurnia perkenan Baginda
    ​b. ​Ketua Jabatan
    ​Duli Yang Teramat Mulia / Yang Berhormat Menteri di kementerian masing-masing
    ​c. ​Pegawai yang paling kanan selepas Ketua Jabatan atau Pengarah dan jawatan-jawatan lain di Pejabat Setiausaha Tetap ​Setiausaha Tetap Kementerian masing-masing
    ​d. ​Timbalan/Penolong Ketua Jabatan atau Pengarah bagi Jabatan yang mempunyai jawatan Pengarah dan jawatan-jawatan lain ​Ketua Jabatan masing-masing
    ​e. ​
    ​Semua jawatan dalam Perkhidmatan Pentadbiran Brunei (BAS) bagi tempoh:
    i.   180 hari atau lebih
    i.   Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
    ​ii.   Secara semantara tidak melebihi 180 hari ​ii.   Setiausaha Tetap atau Ketua Jabatan
    ​f. ​Semua jawatan lain di Peringkat Kementerian dan Jabatan bagi tempoh bagi tempoh melebihi 180 hari atau bagi menilai kebolehan dan kesesuaian seseorang pegawai untuk ditetapkan dalam jawatan yang dipangkunya. ​Suruhanjaya Perkhidmatan Awam


  4.  Kadar Elaun Memangku
    • Elaun memangku sama ada memangku 1 jawatan atau 2 jawatan akan dibayar dengan kadar 1/3 dari gaji permulaan jawatan yang dipangku jika pegawai itu jugs dikehendaki menjalankan tugas-tugas biasanya, dengan cara pengiraan seperti berikut:


    1/3 x Gaji Permulaan Jawatan Dipangku x Jumlah Hari
    Memangku dalam sebulan + jumlah hari dalam bulan tersebut

    • Elaun memangku akan dibayar dengan kadar 1/5 dari gaji permulaan jawatan yang dipangku jika pegawai itu tidak dikehendaki menjalankan tugas-tugas biasanya, dengan cara pengiraan seperti berikut:


    1/5 x Gaji Permulaan Jawatan Dipangku x Jumlah Hari Memangku dalam sebulan + jumlah hari dalam bulan tersebut

    • Dalam apa keadaan sekalipun, jumlah elaun memangku tidak boleh melebihi separuh daripada gaji pokok yang diterima oleh pegawai berkenaan.

    • Dalam keadaan dimana pegawai yang dibenarkan memangku di bawah perenggan 4.1, jika dinaikkan pangkat secara kebelakangan yang melibatkan tempoh semasa ia memangku, elaun memangkunya yang telah dibenarkan tidak akan dikutip balik.


  5. Keistimewaan Semasa Dilantik Memangku
    • Pegawai yang dilantik memangku jawatan lantikan berperlembagaan, jawatan Setiausaha Tetap, jawatan Timbalan Setiausaha Tetap dan jawatan-jawatan dalam tanggagaji Superscale C dan ke atas yanglazimnya diberikan kemudahan sebuah kereta dan pemandu, yang dilantik bagi menilai kebolehan dan kesesuaiannya untuk ditetapkan dalam jawatan-jawatan tersebut (substantive acting) akan diberikan kemudahan sebuah kereta rasmi beserta pemandu. Walau bagaimanapun, pegawai-pegawai yang dilantik memangku secara sementara tidak akan diberikan sebarang kemudahan.

    • Pegawai yang dilantik memangku jawatan-jawatan lain sama ada secara sementara atau bagi menilai kebolehan dan kesesuaiannya untuk ditetapkan dalam jawatan-jawatan tersebut tidak diberikan keistimewaan yang lazim diberikan kepada jawatan-jawatan tersebut.


  6. Umum
    • Setiausaha Tetap/Ketua Jabatan hendaklah memastikan supaya lantikan memangku benar-benar diperlukan sebelum sebarang sokongan atau kebenaran dilakukan. Sokongan memangku hendaklah dilakukan bagi tujuan memastikan kelicinan pentadbiran dan perjalanan pejabat tidak terjejas.

    • Jika seseorang pegawai atau kakitangan mengambil sebarang cuti atau berkursus secara sepenuh masa sama ada di dalam atau di luar negeri bagi tempoh yang berterusan selama 11 hari atau lebih semasa ianya dibenarkan memangku sesuatu jawatan secara sementara, maka elaun memangku tidak akan dibayar bagi tempoh tersebut, kecuali pegawai tersebut memangku secara berterusan bagi tujuan untuk menilai kesesuaiannya untuk ditetapkan di dalam jawatan tersebut atau dihantar bertugas atas urusan rasmi.

    • Seorang pegawai yang diaturkan untuk menjalankan tugas-tugas jawatan yang kosong atau semasa ketiadaan pemegang asal jawatan berkenaan atas sebarang sebab bagi tempoh yang kurang dari 11 hari tanpa dibayar elaun, lantikan berkenaan hendaklah dicatatkan dalam rekod perkhidmatannya.

    • Bagi jawatan lantikan berperlembagaan, jawatan Setiausaha Tetap, jawatan Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua Jabatan dan Ketua-Ketua Bahagian di kementerian-kementerian yang bertaraf Pengarah, elaun memangku dibayar bermula dari hari bekerja pemegang jawatan berkenaan memulakan cuti atau keluar negeri kerana bertugas atas urusan rasmi sehingga hari sebelum ianya melaporkan diri kembali bertugas. Walau bagaimanapun, tanggungjawab bagi menjalankan tugas-tugas tersebut bermula daripada waktu pemegang jawatan berkenaan memulakan cuti atau keluar negeri sehingga pemegang jawatan kembali bertugas.

    • Elaun memangku dibayar mengikut tempoh yang dibenarkan termasuk hari-hari kelepasan biasa dan hari-hari kelepasan awam.

    • Bagi pegawai yang dibenarkan memangku dua jawatan dalam satu masa seperti keadaan yang dinyatakan diperenggan 2.8 di atas, elaun akan dibayar kepada pegawai yang dibenarkan memangku bersandarkan kadar elaun tertinggi.

    • Bagi pegawai yang dibenarkan memangku jawatan yang pemegang asal diberikan gaji secara khas batang tubuh, pembayaran elaun hendaklah didasarkan pada tanggagaji dan gaji terendah jawatan berkenaan.

    • Bagi Timbalan Setiausaha Tetap yang dibenarkan memangku jawatan Timbalan Setiausaha Tetap dan Setiausaha Tetap yang dibenarkan memangku jawatan Setiausaha Tetap, ianya tidak akan dihulurkan apa jua bentuk bayaran / imbuhan.

    • Jawatan-jawatan yang boleh dipangku adalah semua jawatan dalam Peruntukan Kakitangan dalam Anggaran Perbelanjaan dalam Bahagian IV dan ke atas.

    • Lantikan memangku hanya dibenarkan bagi pegawai-pegawai tempatan dalam perkhidmatan tetap, perkhidmatan sebulan ke sebulan dan berkontrak sahaja yang telah berkhidmat dalam jawatannya tidak kurang dari 6 bulan.

    • Pegawai-pegawai dalam perkhidmatan berikut tidak boleh dilantik memangku:

               a. bergaji hari dan open vote; dan
               b. berkontrak (luar negeri), kecuali yang dibenarkan di bawah                perenggan 2.6.

    • Peraturan lantikan memangku ini adalah khusus untuk pegawai-pegawai dalam Perkhidmatan Awam sahaja.

    • Semua sokongan memangku hendaklah disertakan dengan Borang Timbang Terima.

    • Kebenaran lantikan memangku tidak boleh diberikan secara kebelakangan.


  7. Takrif bagi semua istilah yang digunakan di dalam Surat Keliling ini adalah seperti yang terdapat dalam. Lampiran 1


  8. Sebarang pertanyaan mengenai peraturan ini hendaklah dirujuk kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.


  9. Surat-Surat Keliling berkaitan dengan Peraturan Lantikan Memangku berikut adalah dengan ini dibatalkan:

    • Surat Pemberitahuan Jabatan Perkhidmatan Awam bilangan 2/2007 bertarikh 22 Muharram 1428/10 Februari 2007;
    • Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri bilangan 14/2002 bertarikh 29 Ramadhan 1423 / 04 Disember 2002;
    • Surat Jabatan Perdana Menteri bilangan (96) JPM/0/81 Pt.2 bertarikh 15 Ramadhan 1415/15 Februari 1995;
    • Surat Keliling Jabatan Perkhidmatan Awam, JPM bilangan 6/1995 bertarikh 22 Zulkaedah 1415/22 April 1995;
    • Surat Jabatan Perdana Menteri bilangan JPM/0/22 Pt. 1 bertarikh 27 Ramadhan 1414/10 Mac 1994;
    • Surat Jabatan Perdana Menteri bilangan (88) JPM/0/81 Pt.2 bertarikh 29 Julai 1993;
    • Surat Jabatan Perdana Menteri bilangan (33) JPM/J/SPA/0 Pt.2 bertarikh 16 Januari 1992;
    • Surat Keliling Pejabat Setiausaha Kerajaan bilangan 9/1981; dan
    • Paragraf mengenai "Alaon Pemangku" dalam Surat Keliling Pejabat Setiausaha Kerajaan bilangan 11/1966.


  10. Surat Keliling ini berkuatkuasa mulai pada 01 Mac 2008